Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

PENYERANG kebangsaan, Zaquan Adha
Radzak lebih suka Harimau Malaya berwatak ‘low profile’ pada kempen Piala AFF
November depan biarpun mengakui pasukan yang dibentuk oleh jurulatih Tan Cheng
Hoe awal tahun ini mampu melakukan kejutan.
Katanya, keputusan mengecewakan
dua tahun lalu apabila tersingkir awal di Yangon seharusnya dijadikan
pengajaran apatah lagi lawan mereka dalam saingan Kumpulan A kali ini hampir
sama iaitu Vietnam, Myanmar dan Kemboja kecuali Laos.
“Saya tidak kisah dengan persepsi
orang yang mengatakan kami bukan pasukan pilihan kali ini. Biar kami ‘low
profile’, tapi pada masa sama kami buktikan pasukan ini lebih baik.
“Dalam kumpulan ini, Vietnam dan
Myanmar adalah lawan paling sukar, tapi saya percaya Kemboja dan Laos tidak
akan memberi laluan mudah. Dua tahun lalu kami gagal ke separuh akhir, jadi
pengalaman itu harus dijadikan pengajaran buat semua pemain,” kata Zaquan yang
kini mewakili Kuala Lumpur.
Kempen Malaysia, juara 2010, akan
bermula dengan menentang Kemboja di Phnom Penh pada 8 November, sebelum melayan
kunjungan Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 12 November, bertemu
Vietnam di Hanoi (16 November) dan Myanmar di Bukit Jalil (24 November).
Manakala saingan Kumpulan B pula
membabitkan juara bertahan Thailand, naib juara Indonesia, Filipina, Singapura
dan pemenang pusingan kelayakan, Brunei atau Timor Leste.
Zaquan yang dilantik sebagai
kapten dan meledak empat gol ketika menamatkan kemarau 12 perlawanan tanpa
kemenangan Harimau Malaya dengan membelasah Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan
di Bukit Jalil, 1 April lalu percaya, semangat pemain skuad itu boleh dijadikan
senjata terbaik untuk memburu tempat ke final Piala AFF.
“Ramai yang cakap ia perlawanan
mudah menentang Bhutan, tapi kami hanya berlatih beberapa hari saja sebelum
perlawanan itu. Pemain ketika itu beraksi dengan semangat juang tinggi.
“Pemain juga cepat menyesuaikan
diri dan tak mustahil untuk kami ke final jika membuat persiapan lebih baik.
Tapi tak tahulah, mungkin selepas ini pemain lain akan dibawa, mungkin ada
kapten baru tapi ia tak ada masalah, kerana apa yang penting, semua pemain
perlu ada semangat untuk menyarung jersi negara,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Selasa, 8 Mei 2018 @ 6:46 PM