Khamis, 25 Mei 2017

Aidil rindu Harimau Malaya



MOHD. AIDIL ZAFUAN ABDUL RADZAK (tengah) bersedia untuk bersaing
Tidak sabar untuk sarung jersi kebangsaan bulan depan
MOHD. AIDIL ZAFUAN ABDUL RADZAK (tengah) bersedia untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya apabila kembali selepas 10 bulan mengumumkan persaraan.

Mohammad 
Rozaidi Zulkifli

26 Mei 2017 3:00 AM
AddThis Sharing Buttons
Share to FacebookShare to TwitterShare to WhatsAppShare to TelegramShare to EmailShare to More

KUALA LUMPUR 25 Mei - Biar apa pun yang diperkatakan orang ramai tentang keputusannya untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan, tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak mengakui, dia tidak sabar untuk menyarung jersi negara dan amat merindui Harimau Malaya.

Aidil, 30, dan tiga lagi bintang JDT iaitu Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal dan S. Kunanlan disenaraikan oleh jurulatih baharu, Nelo Vingada untuk menghadapi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lebanon di Larkin, 13 Jun ini.

Keempat-empat pemain tersebut sebelum ini mencetus kontroversi apabila mengumumkan persaraan secara mengejut pada Jun tahun lalu atas alasan peri­badi.

Namun, mereka menyatakan kesediaan untuk kembali mewa­kili negara sebaik sahaja Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mac lalu.

“Secara jujur saya memang rindu untuk mewakili pasukan kebangsaan dan berbesar hati dipanggil semula menyarung jersi Harimau Malaya.

“Saya akan memberi yang terbaik dan komitmen 100 peratus kepada pasukan kebangsaan jika diberi kepercayaan untuk diturunkan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan Liga Super yang menyaksikan JDT menang 1-0 ke atas PKNS FC di Stadium Shah Alam, semalam.

Mengulas mengenai venue latihan skuad kebangsaan yang sebelum ini berpusat di Wisma FAM dan kini berpindah ke Larkin, Aidil berkata, ia tidak membawa perbezaan.

“Sebelum ini pun kita pernah berlatih di Johor dan bagi saya fasiliti yang ada di JDT adalah lengkap... cuma bezanya mungkin suasana baharu (sebelum ini berlatih FAM)

“Kita bakal diterajui jurulatih baharu dan pemain pun ada beberapa muka baharu.

“Kita tengok macam mana pada sesi pertama yang bermula 29 Mei ini untuk cuba mengenali satu sama lain,” jelasnya.

Aidil juga mengakui, dia perlu bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama kerana posisi bek tengah memiliki banyak pilihan yang baik.

“Sekarang pemain-pemain yang bermain di posisi saya pun bagus se­perti Khairul Helmi Johari (Kapten Kedah),” katanya.

sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/aidil-rindu-harimau-malaya-1.486228#ixzz4iA8jLwx1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan