ARKIB : 31/07/2002
PENYANDANG juara, Selangor
mencipta hatrik dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Coca-Cola MSSM/FAM/MSN setelah
menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Mini
Universiti Sains Malaysia (USM) petang semalam.
Kejayaan Selangor mencipta
sejarah adalah hasil sentuhan dua gol penyerang licik mereka, Abdul Hadi Yahya
pada babak kedua manakala gol tunggal Negeri Sembilan dijaringkan oleh Mohd.
Zaquan Adha Razak.
Negeri Sembilan yang menguasai
babak pertama gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang berikutan
ketumpulan barisan hadapan yang diketuai Mohd Zaquan.
Kebuntuan menjaringkan sebarang
gol pada babak pertama menyaksikan perlawanan bertambah menarik sebaik separuh
masa kedua bermula dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Selangor yang bangkit pada babak
kedua selepas ditekan hebat pada 45 minit pertama akhirnya berjaya memecah
kebuntuan setelah penyerang harapan, Abdul Hadi berjaya menggegarkan jaring
pada minit ke-56.
Memperoleh gol semangat, Skuad
Lembah Klang itu terus menggandakan asakan dan akhirnya membuahkan hasil
apabila sekali lagi Abdul Hadi mengecewakan pemain Negeri Sembilan untuk
mendahului 2-0 pada minit ke-62.
Negeri Sembilan yang tidak
berputus asa terus mengatur gerak dan akhirnya usaha itu berhasil apabila
berjaya meruntuhkan benteng Selangor untuk merapatkan jurang hasil jaringan
Mohd Zaquan pada minit ke-73.
Sementara itu pasukan tuan rumah,
Pulau Pinang menduduki tempat ketiga kejohanan setelah membelasah Perlis 4-1.
Gol-gol kemenangan skuad Pulau
Mutiara hasil sentuhan hatick Mohd Riduan Mat Tahir dan satu gol dijaringkan
oleh Mohd Azmi Osman manakala gol tunggal Perlis disumbangkan oleh Ahmad Shukor
Elias.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cEvGRFag
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan