Sabtu, 24 Disember 2016

Waspada 90 minit!

 
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Aidil Zafuan Abd Radzak (gambar) lebih berminat untuk menyiapkan diri berdepan Terengganu pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam esok berbanding memikirkan kejuaraan liga.

Malah katanya, perlawanan yang Johor DT perlu harungi untuk 90 minit malam esok dianggap getir kerana ia akan membantu pasukan untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu dan jika ia terlaksana sudah pasti kejuaraan liga menjadi milik Harimau Selatan yang pasti mencipta sejarah selaku kelab pertama melakar hatrik selaku juara liga.


Dia juga tidak menolak kemungkinan skuad Terengganu kendalian Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor bakal tampil lebih agresif malah mereka tidak akan sesekali menganggap pasukan itu lemah walaupun menghuni kelompok bawahan liga memandangkan lawan dibarisi pemain mantap yang mampu menggugat tuan rumah.

“Ketepikan dulu soal kejuaraan liga sebaliknya kami kena fokus pada perlawanan menentang Terengganu dan biar kami harungi 90 minit aksi untuk memburu kemenangan dan dari situ baru menjadi penentu sama ada kejuaraan liga milik Johor DT atau tidak.

“Walaupun kelebihan memihak kepada kami yang beraksi di laman sendiri namun saya dan rakan sepasukan tidak boleh alpa dibuai keinginan merangkul kejuaraan sebaliknya kami harus berwaspada dan mengelak melakukan kesilapan mudah sehingga meranapkan pemburuan tiga mata.

“Selepas diberi rehat selama seminggu, kami kembali menyambung latihan dengan lebih bersungguh-sungguh kerana kami perlu mengharungi dua aksi berbeza iaitu menentang Terengganu dan seterusnya beraksi pada saingan suku akhir Piala AFC di Hong Kong, 13 September ini,” katanya.

Aidil Zafuan juga menyifatkan kesilapan ketika menentang FELDA United selepas agak selesa mendahului 2-0 namun memberi ruang kepada lawan bangkit menyamakan jaringan tidak harus berulang apabila berdepan skuad Penyu.

Katanya, kesilapan itu memberi pengajaran berguna buat dirinya dan rakan sepasukan supaya tidak mengulangi apa yang berlaku kerana ia mungkin boleh mengundang kerugian buat pasukan malah kelicikan pemain Terengganu juga harus diawasi bagi mengelak percubaan berbahaya.

“Kita tidak boleh anggap Terengganu pasukan lemah sebaliknya mereka dibarisi pemain hebat dan setiap pasukan yang menentang Johor DT akan beraksi bermati-matian untuk mencari kemenangan dan kami tidak boleh terlalu selesa walaupun bermain di laman sendiri,” kata Aidil Zafuan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 8:36 AM

Jumaat, 1 April 2016

Skuad Olimpik beri tentangan

ARKIB : 20/01/2007
PETALING JAYA – Skuad bola sepak Olimpik negara mempamerkan potensi besar biarpun tewas 1-2 kepada skuad bawah 21 tahun Denmark dalam perlawanan persahabatan pertama di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Malaysia bagaimanapun lebih dulu mengejutkan Denmark dengan gol pendahuluan menerusi tandukan pemain pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak pada minit ke-60.

Tiga minit sebelum itu, penjaga gol negara, Syed Adney Syed Hussein turut cemerlang menyelamatkan sepakan penalti yang diambil ketua pasukan Denmark, Michael Jakobsen.

Hanya selepas Malaysia memperlahankan rentak permainan serta membuat beberapa pertukaran pemain utama, barulah Denmark mampu membolosi benteng skuad negara dua kali pada minit ke-68 dan 73.

Apa yang boleh dibanggakan ialah kemampuan pemain negara menyaingi badan bersaiz besar serta ketinggian yang dimiliki pemain Denmark .

Menurut jurulatih negara, B. Sathianathan, skuad Denmark ini adalah pasukan yang kuat kerana pernah menewaskan skuad Belanda dan Turki sebelum ini.

“Memang kita tunggu untuk bermain dengan pasukan kuat seperti ini. Namun hari ini (semalam) semangat pemain saya berjaya menyaingi kehebatan mereka.

“Tetapi apa yang lebih penting bagi saya menerusi perlawanan pertama ini ialah untuk membentuk persefahaman lebih baik antara pemain.

“Di samping itu, tumpuan saya juga lebih kepada menguji barisan pertahanan yang saya anggap bahagian paling lemah untuk diatasi ketika ini,” katanya selepas perlawanan.

Sathianathan seterusnya menjangkakan Denmark akan mengubah corak permainan dan barisan pemainnya apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di tempat yang sama pukul 8.45 malam esok.

Sehubungan itu, beliau bercadang untuk menurunkan kesebelasan utama pilihannya untuk menghadapi perlawanan persahabatan kedua itu.

Skuad negara kini sibuk mengatur beberapa perlawanan persahabatan seperti ini sebagai persiapan menghadapi Syria pada pusingan kelayakan Olimpik, 28 Februari ini diikuti Jepun selepas itu.

Namun, skuad bimbingannya masih tidak dapat menggunakan khidmat empat pemain tonggak iaitu Shafiq Rahim, Khairyl Muhaimeen Zamri, Saramsak Kram dan Azril Shahril Azmi yang kini bersama skuad kebangsaan menghadapi separuh akhir Piala AFF menentang Singapura, Selasa ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz44ZSNYa3v © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 31 Mac 2016

Kita arif taktikal Vietnam - Aidil


 

ARKIB : 11/12/2010

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Norshahrul Idlan Talaha menjadi taruhan terbaik K. Rajagobal untuk meledak gol apabila Malaysia berdepan Vietnam pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

KUALA LUMPUR - Berdepan Vietnam pada separuh akhir Piala Suzuki AFF sebenarnya memberikan kelebihan kepada skuad negara untuk melangkah ke perlawanan akhir, berbanding jika menentang Filipina.

Pemain negara yang tidak dapat beraksi akibat cedera, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak juga menganggap kelebihan sebenarnya berpihak kepada Malaysia kerana bertemu Vietnam, kerana rakan-rakannya sudah banyak kali bertemu pasukan itu di peringkat Sukan SEA atau Piala AFF.

''Kebanyakan pemain negara sudah masak dengan taktikal dan corak permainan Vietnam. Saya yakin ini memudahkan tugas jurulatih (K.Rajagobal) untuk merangka strategi yang sesuai dan berkesan.

''Setiap kali berdepan Vietnam pada perlawanan sebelum ini, terutama pada Sukan SEA, semangat kami pasti membara untuk menewaskan mereka, memandangkan status mereka sebagai pasukan No. 1 Asia Tenggara.

''Jika berdepan Filipina, kita mungkin terlalu asing dengan corak permainan mereka, apatah lagi skuad itu berwajah baru kerana mendapat sentuhan ramai pemain baru, '' katanya ketika dihubungi, semalam.

Walaupun rekod pertemuan banyak memihak kepada Vietnam, Aidil menegaskan setiap perlawanan adalah berbeza dan rakan-rakannya tidak harus bimbang mengenai rekod pertemuan lalu.

''Pada kejohanan Piala Millenium Thang Long pada September lalu, kita tewas kepada Vietnam.

Namun, jelasnya Malaysia menang pada penentuan pingat emas Sukan SEA di Laos, tahun lalu.

"Jadi saya anggap peluang kedua-dua pasukan seimbang, biarpun mungkin sebelum ini Vietnam banyak kali menang ke atas Malaysia, '' ujarnya.

Mengenai kekuatan Vietnam berdasarkan pengalamannya, Aidil mengakui skuad bimbingan Henrique Calisto mempunyai beberapa kualiti yang harus diberikan perhatian.

''Vietnam sebuah pasukan yang bekerja keras, sentiasa mencabar pemain lawan ketika menguasai bola dan tidak kenal erti putus asa malah tempo permainan mereka begitu pantas.

''Namun, saya percaya kekuatan skuad kita boleh mengimbangi dengan kelebihan yang kita ada.

''Saya lihat Vietnam lebih tertekan kerana mahu mempertahankan kejuaraan,'' ujarnya.

Aidil berharap Malaysia mencatat kemenangan pada aksi separuh akhir pertama Rabu ini, sebelum ke Hanoi untuk perlawanan kedua pada 18 Disember ini.

''Kemenangan di tempat sendiri dapat membantu psikologi pemain sebelum bertandang ke tempat lawan, di samping mengelak tekanan berlebihan, '' katanya.

Kongsi Konten di :

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44U2F2cDd © Utusan Melayu (M) Bhd